DIALOG IBLIS DENGAN RASULULLAH

Sabtu, 26 Februari 2011


Allah s.w.t. telah memerintahkan seorang Malaikat berjumpa Iblis supaya dia
berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. untuk memberitahu segala rahsianya; samada
yang disukai mahupun yang dibencinya. Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat
Nabi Muhammad s.a.w. dan juga sebagai peringatan dan perisai kepada umat
manusia.
Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis dan berkata, "Hai Iblis! Bahawa Allah Yang
Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat Rasullullah
s.a.w. Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan apa-apa yang disoal oleh
Rasulullah hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau
berdusta walau satu perkataan pun, nescaya akan diputuskan segala suku-suku
anggota badanmu, uratmu serta disiksa dengan azab yang amat keras".
Demi mendengar sahaja kata Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan.
Maka segeralah dia menghadap Rasulullah s.a.w. dengan menyamar sebagai
seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10 helai; panjangnya
seperti ekor lembu. Iblis pun memberi salam, sehingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah s.a.w. Maka sembah Iblis (alaihi laknat),"Ya Rasulullah! Mengapa
tuan hamba tidak mejawab salam hamba? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi
Allah?"
Maka jawab Nabi dengah marah "Hai Aduwullah seteru Allah! Kepada aku engkau
menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku sebagimana engkau tipu
Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga Habil mati teraniaya dibunuh Qabil
dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup dengan asap racun ketika dia
sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara beberapa lama, Nabi Daud dengan
perempuan Urya, Nabi Sulaiman meninggalkan kerajaannya kerana engkau
menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa Anbiya dan pendita yang
telah menanggung sengsara akibat hasutan engkau. Hai Iblis! Sebenarnya salam itu
sangat mulia di sisi Allah azza wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak hendak
menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis,
raja segala iblis, syaitan dan jin yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang
berjumpa aku?"
Sembah Iblis,"Ya Nabi Allah! Janganlah tuan hamba marah. Kerana tuan adalah
Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan hamba. Kedatangan hamba adalah
disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya hamba terhadap umat tuan dari
zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah! Setiap apa yang tuan tanya
hamba sedia menerangkan satu persatu dengan sebenarnya, tiadalah hamba berani
sembunyikan." Maka Iblis pun bersumpah menyebut nama Allah dan berkata "Ya
Rasulullah! Sekiranya hamba berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah
badan hamba menjadi abu" Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun
tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat
segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian sahabat yang ada di majlis ini dan
menjadi perisai kepada sekelian umatku.
Soalan Nabi (1) - "Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana
aku terhadap engkau?" Jawab Iblis - "Ya Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang
paling besar di antara segala musuh hamba di muka bumi ini" Maka Nabi pun
memandang muka Iblis, dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan. Sambung
Iblis,"Ya Khatamul Anbiya! Adapun hamba dapat merupakan diri hamba seperti
sekelian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak salah
sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang tidak dapat hamba tiru kerana ditegah oleh
Allah. Kiranya hamba menyerupai diri tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi
abu. Hamba cabutkan iktikad anak Adam supaya menjadi kafir kerana tuan
berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk
agama Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan tarik sekelian umat Islam dari jalan benar kepada jalan
yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bersama hamba"
Soalan Nabi ke 2 - "Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah" Jawab
Iblis - "Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang merenggangkan kedua pehanya
kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya hingga mengeluarkan benih yang
salah sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya meninggalkan sembahyang, leka
dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba lalaikan dengan harta benda
daripada emas, perak dan permata, rumahnya, tanahnya, ladangnya supaya hasilnya
dibelanjakan kejalan haram. Demikian juga ketika temasya yang bercampur lelaki
perempuan. Di situ hamba lepaskan sebesar-besar godaan supaya hilang maruah
dan minum arak. Apabila terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan
malunya. Lalu hamba hulurkan tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat
yang besar, datang perasaan hasad dengki hingga kepada pekerjaan zina. Apabila
terjadi kasih antara mereka, terpaksalah mereka mencari wang hingga menjadi
penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka teringat akan salah mereka lalu
hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan galang mereka supaya mereka
menangguhkannya. Bertambah keras hamba goda supaya menambahkan maksiat
dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya, datanglaah rasa riak, takbur,
megah, sombong dan melengahkan amalnya. Bila pada lidahnya, mereka akan
gemar berdusta, mencela dan mengumpat. Demikianlah hamba goda mereka setiap
saat."
Soalan Nabi ke 3 - "Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat
melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat
yang besar serta siksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai kutuk Allah!
Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan usia engkau? Siapa yang
menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran engkau? Siapa yang
memberi kekuatan anggota badan engkau?" Jawab Iblis - "Sekelian itu adalah
anugerah daripada Tuhan Yang Maha Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan takbur
menceburkan hamba menjadi sebesar-besar jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba
telah beribu-ribu tahun menjadi ketua kepada sekelian Malaikat dan pangkat hamba
telah dinaikkan dari satu langit ke satu langit yang tinggi. Kemudian hamba tinggal di
dunia ini beribadat bersama sekelian Malaikat beberapa lama. Tiba-tiba datang
firman Allah s.w.t. hendak menjadikan seorang Khalifah di dunia ini, maka hamba
pun membantah. Lalu Allah mencipta lelaki (Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian
Malaikat memberi hormat kepada lelaki itu, kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu
Allah murka kpd hamba dan muka hamba yang cantik molek dan bercahaya itu
bertukar menjadi keji dan hodoh. Hamba berasa sakit hati. Kemudian Allah
menjadikan Adam raja di syurga dan dikurniakan seorang permaisuri (Siti Hawa) yang memerintah sekelian bidadari. Hamba bertambah dengki dan berdendam
kepada mereka. Akhirnya dapat juga hamba tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh
Adam memakan buah Khuldi, lalu keduanya dihalau dari syurga ke dunia. Kedua
mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di Padang
Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang anak. Kemudian kami hasut anak
lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya Habil. Itu pun hamba masih tidak
puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan hingga Hari Kiamat.
Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba serta bala tentera hamba dengan mudah dapat
naik ke langit untuk mencuri segala rahsia serta tulisan yang menyuruh manusia
berbuat ibadat serta balasan pahala dan syurga mereka. Kemudian hamba turun ke
dunia, dan memberitahu manusia yang lain daripada apa yang sebenarnya hamba
dapat, dengan berbagai tipu daya hingga tersesat dengan berbagai kitab bidaah dan
karut-marut. Tetapi apabila tuan lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak
dibenarkan oleh Allah untuk naik ke langit serta mencuri rahsia, kerana banyak
Malaikat yang menjaga di setiap lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga
hendak naik, maka Malaikat akan melontar dengan anak panah daripada api yang
menyala. Sudah banyak bala tentera hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan
semuanya terbakar menjadi abu. Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera
hamba untuk menjalankan tugas hasutan."
Soalan Nabi ke 4 - "Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu akan manusia?"
Jawab Iblis - "Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya imannya kepada kafir
sama ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak berjaya
juga, hamba akan tarik dengan cara mengurangkan pahala. Lama-kelamaan mereka
akan terjerumus mengikut kemahuan jalan hamba"
Soalan Nabi ke 5 - "Hai Iblis! Jika umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana hal
engkau?" Jawab Iblis - "Sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah
badan hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba kerahkan berpuluh-puluh
iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota badannya.
Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas
sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan dunia
yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilangkan khusyuknya -
matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya sentiasa mendengar orang
brcakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah Iblis duduk di belakang badan orang
yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa sujud lama-lama, penat atau duduk
tahiyat dan dalam hatinya sentiasa hendak cepat habis sembahyang, itu semua
membawa kpd kurang pahala. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda manusia itu,
maka hamba sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman"

Soalan Nabi ke 6 - "Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, apalah rasa
engkau?" Jawab Iblis - "Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa
terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba lalu hamba lari
daripadanya."
Soalan Nabi ke 7 - "Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana rasa
engkau?" Jawab Iblis - "Binasalah diri hamba, gugurlah daging dan tulang hamba
kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya"
Soalan Nabi ke 8 - "Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana hal engkau?"
Jawab Iblis - "Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling besar bahayanya kepada
hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan, maka memancarlah cahaya Arasy
dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut dengan kesukaan. Bagi orang yang
berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang lalu dan digantikan dengan
pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan dosanya selama dia berpuasa. Yang
menhancurkan hati hamba ialah segala isi langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan,
bintang, burung dan ikan-ikan semuanya siang malam mendoakan keampunan orang
yang berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap
masa dari azab neraka. Bahkan semua pintu neraka ditutup manakala semua pintu
syurga dibuka seluas-luasnya, serta dihembuskan angin dari bawah Arasy yang
bernama Angin Syirah yang amat lembut ke dalam syurga. Pada hari umat tuan
mula berpuasa, dengan perintah Allah datanglah sekelian Malaikat dengan
garangnya menangkap hamba dan tentera hamba; jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung
kaki dan tangan dengan besi panas dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi
yang amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang lain telah menunggu kami.
Setelah habis umat tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar
tidak mengganggu umat tuan. Umat tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa
seperti mana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di tengah malam tanpa rasa
takut berbanding bulan biasa."
Soalan Nabi ke 9 - "Hai Iblis! Bagaimana sekelian sahabatku kepada engkau?"
Jawab Iblis - "Sekelian sahabat tuan hamba juga adalah sebesar-besar seteru
hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu daya yang dapat masuk
kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata yang "Sekelian sahabatku adalah
seperti bintang di langit, jika kamu mengikut mereka, maka kamu akan mendapat
petunjuk." Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak
dapat hampir kepadanya inikan pula setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu
percaya atas kebenaran tuan hingga dia menjadi wazirul a'zam. Bahkan tuan sendiri
telah mengatakan jika ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah
menjadi mertua tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah
yang juga banyak menghafaz Hadis tuan. Saiyidina Umar Al-Khattab pula tidaklah
berani hamba pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum
syariat Islam dengan saksama. Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah
segala tulang sendi hamba kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat
apalagi tuan telah mengatakan, "JIKALAU adanya Nabi sesudah aku maka Umar
boleh menggantikan aku" kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai
membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar 'Al-Faruq'. Saiyidina Usman
Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa bergerak
membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan
menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana taatnya, banyak Malaikat datang
melawat dan memberi hormat kepadanya kerana Malaikat itu sangat malu
kepadanya hingga tuan mengatakan,"Barang siapa menulis Bismillahir rahmanir
rahim pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat
pahala seperti pahala Usman mati syahid" Saiyidina Ali Abi Talib pun itu hamba
sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat
bersopan, alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka
terbakarlah kedua mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah
budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menunduk kan kepalanya
kepada sebarang berhala. Digelar 'Ali Karamullahu Wajhahu' - dimuliakan Allah
akan wajahnya dan juga 'Harimau Allah' dan tuan sendiri berkata "Akulah negeri
segala ilmu dan Ali itu pintunya". Tambahan pula dia menjadi menantu kepada tuan,
lagilah hamba ngeri kepadanya.
Soalan Nabi ke 10 - "Bagaimana tipudaya engkau kepada umatku?" Jawab Iblis -
"Umat tuan itu ada tiga macam. Yang pertama seperti hujan dari langit yang
menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama yang memberi nasihat kepada manusia
supaya mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya seperti kata
Jibrail a.s "Ulama itu adalah pelita dunia dan pelita akhirat" Yang kedua umat tuan
seperti tanah iaitu orang yang sabar, syukur dan redha dengan kurniaan Allah.
Berbuat amal soleh, tawakal dan kebajikan. Yang ketiga umat tuan seperti Firaun;
terlampau tamak dengan harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba
pun sukacita lalu masuk kedalam badannya, hamba putarkan hatinya ke lautan
derhaka dan hamba hela ke mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia
sentiasa bimbang kepada dunia dan tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa
beramal ibadat, tidak hendak mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu
hamba godanya minta kaya dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya,
maka dilupakan beramal, tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan
istana mahligainya. Bila umat tuan terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang akan hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut dunia harta,
cakap besar sesama Islam, benci dan menghina kepada yang miskin,
membelanjakan hartanya untuk jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur"
Soalan Nabi ke 11 - "Siapa yang serupa dengan engkau?" Jawab Iblis - "Orang
yang meringankan syariat tuan hamba dan membenci orang belajar agama Islam"
Soalan Nabi ke 12 - " Siapa yang mencahayakan muka engkau?" Jawab Iblis -
"Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, pemungkir janji"
Soalan Nabi ke 13 - "Apakah rahsia engkau kepada umatku?" Jawab Iblis - Jika
seorang Islam pergi buang air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan,
maka hamba gosok-gosokkan najisnya sendiri ke badannya tanpa dia sedari"
Soalan Nabi ke 14 - "Jika umatku bersatu dengan isterinya, bagaimana hal engkau?"
Jawab Iblis - "Jika umat tuan hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca
doa pelindung syaitan, maka larilah hamba dari mereka. Jika tidak hamba akan
bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah benih hamba dengan benih
isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat,
malas pada kebaikan, durhaka. Ini semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri.
Begitu juga jika mereka makan tanpa Bismillah, hamba yang dahulu makan
daripadanya. Walaupun mereka makan, tiadalah rasa kenyang."
Soalan Nabi ke 15 - "Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau?" Jawab
Iblis - "Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kepada Allah, menangis
kesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air sembahyang,
maka padamlah marahnya."
Soalan Nabi ke 16 - "Siapakah orang yang paling engkau lebih suka?" Jawab Iblis -
"Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu
ari-ari(bulu kemaluan) selama 40 hari. Di situ lah hamba mengecilkan diri,
bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat pada bulu itu"
Soalan Nabi ke 17 - "Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?" Jawab Iblis - "Orang
yang tidur meniarap, orang yang matanya celik di waktu subuh tetapi menyambung
tidur semula. Lalu hamba ulit dia lena hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu
zohor, asar, maghrib dan isyak, hamba beratkan hatinya untuk solat"
Soalan Nabi ke 18 - "Apakah jalan yang membinasakan diri engkau?" Jawab Iblis -
"Orang yang banyak menyebut nama Allah, bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus Al-Quran dan solat tengah malam"
Soalan Nabi ke 19 - "Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata engkau?" Jawab
Iblis - "Orang yang duduk di dalam masjid serta beriktikaf di dalamnya"
Soalan Nabi ke 20 - "Apa lagi yang memecahkan mata engkau?" Jawab Iblis -
"Orang yang taat kepada kedua ibubapanya, mendengar kata mereka, membantu
makan-pakai mereka selama mereka hidup, kerana tuan telah bersabda,'Syurga itu
di bawah tapak kaki ibu' "
WALLAHUALAM

Comments

No response to “DIALOG IBLIS DENGAN RASULULLAH”
Post a Comment | Catat Ulasan (Atom)

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...