LAKSANA SIMBIOSIS MANUSIA DAN ALAM

Sabtu, 2 April 2011


TERLETAK di tengah-tengah hutan Raub, Pahang menjadikan Casabrina Vacation Villa & Spa sebuah destinasi percutian yang sesuai kepada pencinta alam yang inginkan ketenangan.
Kedudukannya bersempadan di antara Selangor dan Pahang, hanya mengambil masa satu jam perjalanan dari ibu negara.
Merangkumi keluasan 10.9 hektar, resort itu dikelilingi hutan asli berusia 130 juta tahun yang kaya dengan pelbagai khazanah flora dan fauna.
Kawasan lereng bukit serta pemandangan hijau gunung dan hutan yang disajikan memberikan suasana santai, segar dan tenang serta membuatkan pengunjung terlupa sebentar hiruk-pikuk kota kosmopolitan.
Pengalaman yang sama turut dirasai penulis tatkala berpeluang berkunjung ke villa itu baru-baru ini.
Sebaik menjejakkan kaki, pengunjung pasti teruja apabila disambut kakitangan yang segak berpakaian tradisional Bali.
Melangkah jauh ke dalamnya pasti membuatkan pengunjung terpesona. Pemilihan perabot, dekorasi, rekaan dan seni binanya menerapkan elemen Bali yang menjadi signatur utamanya.
Itu tidak menghairankan kerana Bali amat istimewa di hati pemiliknya, Felix Tee.
Menurut Felix, sebelum ini dia sering berkunjung ke pulau yang terkenal dengan aktiviti pelancongan itu atas urusan perniagaan.
Katanya, sepanjang berulang-alik menguruskan perniagaan di sana, dia terpesona dengan keindahan pantai, budaya dan seni bina Bali yang disifatkan unik dan tersendiri.
Keunikan nama
Bagi merealisasikan impiannya, Felix memulakan pembinaan Casabrina dengan mendapat sentuhan arkitek terkenal Bali, AA Yoka Sara.
Kreativiti Yoka dan kecintaannya terhadap alam semula jadi digabungkan sekali gus menghasilkan karya seni yang begitu mengagumkan.
Cerita Felix, pada peringkat awal, pembinaan villa itu lebih tertumpu sebagai kediaman peribadi untuk dia dan keluarganya bersantai pada hujung minggu.
“Bagaimanapun, saya mula terfikir untuk menjadikannya sebagai sebuah resort pelancongan.
“Lagi pun saya memang gemar apa sahaja yang berkaitan dengan Bali termasuk perabotnya serta mahukan sesuatu yang ecogreen dan baik untuk kesihatan,” katanya mula mengkomersialkan resort itu sejak hujung tahun lalu.
Tambah Felix, ketika ini terdapat dua pilihan penginapan yang ditawarkan kepada pengunjung iaitu Villa Aranya dan Villa Amertani.
Setiap villa yang mempunyai dua suite dan empat suite itu dibina daripada kayu belian dengan kos sekitar RM7 juta sebuah.
“Pengunjung boleh menempah keseluruhan villa secara eksklusif atau memilih untuk menginap di setiap suite yang disediakan,” jelasnya yang menamakan resort itu sempena nama anaknya, Sabrina.

Villa enam bintang

KEINDAHAN Casabrina membolehkan resort itu menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara

Biarpun terletak jauh di belantara, namun pengunjung pasti tidak akan berasa bosan sepanjang menginap di sini.
Terdapat pelbagai aktiviti lasak dan mencabar yang boleh dilakukan dengan tambahan bayaran yang dikenakan oleh pihak pengurusan.
Antaranya, aktiviti meredah hutan dan air sungai yang masih belum diterokai atau dicemari oleh orang ramai di Tanah Aina Farrah Soraya yang terletak kira-kira lima kilometer (km) dari Casabrina.
Setelah meredah hutan kira-kira 10 minit pengunjung akan dapat menikmati kesejukan serta kejernihan air terjun yang dikelilingi pokok-pokok yang sukar untuk ditemui di tempat lain.
Terdapat dua lagi air terjun yang mengambil masa perjalanan hanya 15 minit iaitu Jeram Besu dan Lata Berembun.
Selain Tanah Aina Farrah Soraya terdapat dua lagi Tanah Aina yang berada dekat kawasan itu iaitu Azareena yang kaya dengan dengan alam semula jadi dan buah-buahan tempatan. Sementara di Farouq pula mempunyai kolam ikan yang sesuai bagi kaki pancing.
Jika pengunjung tidak gemarkan sesuatu yang mencabar fizikal, mereka juga boleh ke Bukit Tinggi Fraser yang terletak kira-kira 40 km dari villa dan hanya mengambil masa setengah jam.
Satu lagi tempat yang boleh dituju adalah puncak bukit villa di mana pengunjung dapat melihat panorama bukit yang menghijau serta melawat perkampungan Orang Asli yang terdapat di sekitarnya.
Bagi kaki golf pula ia turut menawarkan kemudahan itu di Kelab Golf Bentong atau di mana-mana kelab golf berdekatan seperti di Raub, Bukit Tinggi dan Awana Genting Highlands.
Villa yang mendapat status enam bintang itu juga mempunyai pelbagai kemudahan seperti kolam renang, jakuzi dan sauna, selain pantri yang boleh diguna 24 jam sehari.
Di samping itu ia juga turut dilengkapi kemudahan televisyen satelit, kemudahan membuat kopi, bilik makan, bilik persidangan untuk mesyuarat dan seminar dan kemudahan internet.
Semasa bersantai di tepi kolam renang pengunjung akan diperdengarkan dengan alunan lembut muzik tradisional Bali yang mengasyikkan.
Lebih menarik, pemandangan landskap hijau hutan asli dan gunung-ganang sambil ditemani kicauan unggas liar yang berterbangan di sekelilingnya pasti mendamaikan jiwa.
Salah satu tarikan yang sukar ditemui di tempat lain adalah pengalaman melihat kabus terbentuk di sekeliling villa bermula seawal pukul 6.30 hingga 7 pagi. Ia membuatkan pengunjung seakan berada di atas awan.
Pada masa yang sama pengunjung mendapatkan perkhidmatan spa dan refleksologi kaki daripada tukang urut profesional yang didatangkan khas dari China.


LUPAKAN hiruk-pikuk kota saat menjadi tetamu di sebuah resort indah di tengah-tengah hutan Raub.



Jika perut terasa lapar, usah risau kerana terdapat perkhidmatan tukang masak yang bersedia menghidangkan pelbagai hidangan Barat dan Asia mengikut selera masing-masing.
Di samping itu, terdapat perkhidmatan pengasuh kanak-kanak dan perkhidmatan jurukemas yang sentiasa memastikan keselesaan anda.
Pakej dan rancangan masa hadapan
Pakej yang ditawarkan untuk satu malam adalah serendah RM1,600 sehingga RM3,500 untuk setiap suite. Tambahan bayaran akan dikenakan bagi sajian makan makan tengah hari, minum petang, makan malam dan makan lewat malam.
Bagi yang datang secara berkumpulan dan mahu merasai sesuatu yang lebih mewah harga yang ditawarkan bermula dari RM4,100 hingga RM8,875 semalam.
Sementara itu, Casabrina juga menawarkan pakej dua hari satu malam dan tiga hari dua malam. Harga yang ditawarkan bermula dari RM6,500 sehingga RM31,000.
Sebagai rancangan masa hadapan, Casabrina Villa akan membina sembilan buah lagi villa yang mempunyai keunikan masing-masing iaitu Villa Melayu, Villa Atas Awan, Villa Air, Villa Mayomaya, Villa Kacapuri, Villa Agra, Villa Plava, Villa Gita Giri dan Villa Ulul Thani.
Kesemua villa itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan dengan tambahan padang helikopter mendarat selain pelbagai lagi landskap yang sedang dalam pembinaan.
Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut dan pakej yang ditawarkan di Casabrina Vacation Villa boleh melayari laman web www.casabrina.net.
– Bernama

Comments

No response to “LAKSANA SIMBIOSIS MANUSIA DAN ALAM”
Post a Comment | Catat Ulasan (Atom)

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...