PANDUAN MEMBELI PC

Selasa, 19 April 2011



Setiap hari orang ramai berpusu-pusu ke Plaza Low Yat untuk satu tujuan: Memburu harga terbaik untuk PC atau laptop baru. Bagi

sesetengah yang tahu apa yang dicari mungkin berpeluang mendapat promosi yang menawan tetapi bukan semua orang mempunyai tuah yang sama.

Setiap kali saya berkunjung ke tingkat tiga Plaza Low Yat, saya dapat lihat muka-muka keliru pelanggan yang tidak tahu apa yang dipamerkan di hadapan mereka. Jika anda bercadang untuk membeli PC baru dan ingin mengelakkan diri dari situasi ini, anda telah datang pada tempat yang betul. Berikut adalah beberapa panduan membeli PC yang terbaik untuk wang anda.

1. Belanjawan

Ini adalah perkara pertama yang anda perlu tetapkan sebelum membeli PC idaman anda. Anda perlu menentukan nilai maksima yang anda sanggup keluarkan dan berpegang pada nilai tersebut. Berikut adalah senarai perkakasan yang anda perlu pertimbangkan dalam belanjawan anda.

• Processor
• Motherboard
• RAM
• Hard drive
• Graphics card/integrated graphics processor
• Optical drive
• Monitor
• Casing
• Keyboard dan mouse
• Pencetak
• Sistem operasi (OS) dan software

Saya telah memasukkan OS dan software seperti Microsoft Office kerana kedai-kedai komputer tidak dibenarkan memasukkan software cetak rompak ke dalam mana-mana PC. Jadi jika anda tidak menyertakan ini ke dalam belanjawan anda, anda terpaksa menyediakan sistem anda sendiri yang merupakan proses yang mudah.

Ingat bahawa amat mudah untuk berbelanja melebihi belanjawan anda. Jadi berhati-hati!

2. Fungsi

Setelah menentukan belanjawan untuk Pc anda, anda perlu bertanya: "Apa yang saya ingin lakukan dengan PC baru saya?" Adakah anda akan menggunakannya untuk melayari laman web dan memproses perkataan atau untuk bermain game? Jika jawapan anda ya untuk kerja-kerja ringan seperti menulis dokumen dan melayari internet, anda boleh menjimatkan wang yang banyak dengan memilih motherboard yang mempunyai integrated graphics processor. Anda boleh menggunakan duit yang dijimatkan dengan membeli pencetak atau menambahkan RAM. Motherboard dengan intergrated graphics processor juga mempunyai slot expansion yang membolehkan anda menaiktaraf ke discrete graphics card jika anda bercadang untuk bermain game pada masa akan datang.

Bagi hardcore gamer, anda perlu berbelanja lebih untuk graphics card. Tapi jangan hanya fokus pada graphics card sahaja. Anda perlu juga mempertimbangkan processor dan resolusi monitor anda. Untuk gaming PC peringkat pertengahan, processor dual-core, RAM 4 gigabyte dan graphics card bernilai RM400-RM500 sudah memadai untuk game pada setting sederhana pada resolusi 1920x1080.

3. Kaji selidik
Sekarang adalah masa untuk membuat kajian. Google adalah sahabat anda. Terdapat pelbagai ulasan perkakasan PC online lengkap dengan perbandingan antara semua pengeluar. Dari sini, anda akan mendapat serba sedikit maklumat tentang perkakasan yang sesuai untuk belanjawan anda. Ini juga dapat mengelakkan diri daripada ditipu atau berdepan dengan jurujual yang tidak berpengalaman. Terdapat ramai orang yang akan mengambil kesempatan ke atas pelanggan yang tidak sedar. Jadi sentiasa bersedia.

Ketika online, anda juga boleh memeriksa harga perkakasan PC. Banyak kedai komputer di Plaza Low Yat mempunyai laman web mereka sendiri lengkap dengan senarai harga terkini. Anda boleh membandingkan harga antara kedai-kedai dan mengenal pasti promosi yang terbaik. Ingat bahawa harga perkakasan PC berubah-ubah setiap hari terutama sekali apabila perkakasan baru dilancarkan.

4. Beli

Selepas menyenaraikan kesemua perkakasan yang diperlukan dan mengenal pasti kedai yang mempunyai tawaran terbaik, anda sudah bersedia untuk membeli-belah. Tapi belum masa untuk mengeluarkan dompet anda. Anda perlu memeriksa harga di kedai-kedai di Plaza Low Yat. Seperti yang dikatakan sebelum ini, harga perkakasan komputer berubah-ubah dan mungkin harga semalam lebih murah daripada hari ini atau sebaliknya. Ketika meninjau kedai-kedai, perhatikan juga layanan jurujual. Ini mungkin berguna apabila anda ingin membuat tuntutan jaminan untuk perkakasan anda.

Apabila anda sudah berpuas hati dengan pilihan anda, barulah anda boleh membuat pembayaran. Cuba untuk berunding harga keseluruhan dan memujuk jurujual untuk memberi aksesori percuma seperti flash drive atau webcam. Ingat bahawa sesetengah kedai akan mengenakan bayaran tambahan untuk pembelian kad kredit. Jadi bersedia dengan wang tunai kerana barisan di mesin ATM di Plaza Low Yat amat panjang atau berurusan dengan kedai yang tidak mengenakan bayaran tambahan.

Kebiasaannya, anda akan mengambil masa sejam untuk membuat tinjauan dan sejam lagi untuk proses pemasangan. Setelah berjalan begitu lama, anda pasti ingin berehat. Terdapat sebuah medan selera di tingkat LG atau anda boleh mencuba restoran kegemaran saya, Nasi Ayam Hainan yang berdekatan dengan pintu hadapan.

Comments

No response to “PANDUAN MEMBELI PC”
Post a Comment | Catat Ulasan (Atom)

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...