PERSAINGAN WEB BROWSER BERTERUSAN

Selasa, 19 April 2011

Persaingan web browser berterusan

               


 
Akhir tahun lepas, kita telah lihat bagaimana empat web browser bertarung semasa sendiri dengan kesudahan yang agak mengejutkan.

Mac 2011 menyaksikan persaingan sengit ini berterusan dengan pengenalan dua versi baru web browser. Internet Explorer 9 (IE 9) dikeluarkan pada 14 Mac dengan lebih daripada 2.35 juta muat turun pada hari pertama dilancarkan. Pencapaian yang agak baik memandangkan reputasi versi sebelumnya. Walau bagaimanapun, seminggu selepas IE 9 dilancarkan, Mozilla muncul dan mencuri tumpuan dengan Firefox 4. Selepas 24 jam diperkenalkan, 7.1 juta muat turun dicatatkan seluruh dunia. Meskipun gagal memadam rekod dunia Guinness sebanyak 8 juta muat turun yang dicatatkan oleh Firefox 3, ia merupakan pencapaian yang membanggakan.

Opera 11 diperkenalkan pada akhir tahun 2010 dan dimuat-turun sebanyak 6.7 juta kali dalam masa 24 jam. Kita tidak perlu membincangkan catatan Chrome kerana kita sedia maklum betapa pantasnya Google memperbaharui web browsernya. Google memperbaharui Chrome setiap enam minggu. Tidak hairanlah mereka telah mengeluarkan 12 versi Chrome dalam tempoh tiga tahun sahaja.

Mari kita lihat apa pembaharuan yang disertakan dalam versi kali ini.

Penampilan

Apa kata kita mula dengan IE 9. Microsoft telah meningkatkan prestasi mereka. Sejak Google memperkenalkan Chrome pada 2008, ia telah menjadi satu kebiasaan untuk web browser mempunyai reka bentuk minima. Microsoft menyedari hakikat ini dan telah memuatkan kesemua kawalan ke dalam satu bar selari dengan bar alamat. Anda juga dapat lihat kemudahan pencarian Bing digabungkan ke dalam bar alamat sama seperti pencarian Google dalam Chrome. Bagi mereka yang tidak banyak membuka tab (seperti saya), reka bentuk IE 9 amat sesuai untuk memaksimumkan ruang laman web yang dilayari. Tambahan juga, font dalam IE 9 kelihatan kemas dan jelas. Malah, IE 9 dan Firefox 4 sahaja yang mempunyai font baru.

Web browser Mozilla, Firefox 4 juga mengalami beberapa perubahan. Anda mungkin menyedari bahawa ia kelihatan hampir serupa dengan Opera. Sejak versi 10, Opera mengeluarkan bar menu dan menggantikannya dengan menu kecil dengan label Opera di sudut kiri. Mozilla juga mengambil langkah yang sama untuk Firefox 4. Mozilla juga memindahkan tab ke bahagian atas bar alamat seperti Opera. Hanya butang navigasi yang membezakan antara Opera dan Firefox. Untuk Firefox 4, butang navigasi disusun semula dengan butang refresh dimasukkan ke dalam bar alamat dan butang home diletakkan di sebelah kanan meninggalkan hanya butang back dan forward di sebelah kiri. Untuk Opera, kesemua butang navigasi diletakkan di sebelah kiri.

Perubahan luaran yang dibuat pada versi stabil Chrome 10 hanya pada tetapan pilihan. Sebelum ini, tetapan pilihan dipaparkan dalam menu pop-up tetapi kali ini Google telah memasukkannya ke dalam tab baru. Selain daripada itu, Chrome kelihatan sama seperti versi terdahulu. Bermula dengan versi 11, Google telah menukar icon Chrome.

Ciri-ciri

Dengan pengenalan generasi baru web browser, muncul beberapa ciri-ciri baru. Salah satu daripadanya ialah HTML5 yang merupakan bahasa baru untuk laman web. WebM, format media yang terbuka tanpa royalti juga dibina ke dalam Chrome, Firefox 4 dan Opera 11 dengan plug-in untuk IE 9.
Sememangnya, kepantasan dan keselamatan adalah penting untuk web browser yang bagus. Dengan ciri-ciri hardware acceleration, anti-malware dan anti-phishing disertakan dalam semua web browser sekarang, para pesaing akan cuba untuk membezakan antara satu sama lain.

Pada IE 9, Microsoft mempercepatkan masa bermulanya dengan add-on performance advisor. Jika ia mengenal pasti add-on yang melambatkan IE 9, ia akan menasihatkan anda untuk menyahaktifkan add-on tersebut. Ya, IE akhirnya mempunyai pelbagai add-on untuk pilihan anda. Keselamatan merupakan masalah besar untuk IE sebelum ini. Oleh sebab itu, IE 9 telah dikukuhkan dengan tracking protection yang melindungi pengguna daripada dikesan dalam dunia siber. Pinned sites pula ciri yang berguna untuk pengguna memastikan laman web kegemaran mereka sentiasa terbuka. Anda hanya perlu drag dan drop tab ke taskbar.

Sekarang kita beralih ke web browser yang kaya dengan ciri-ciri berguna, Firefox 4. Ciri yang terbaik dan patut ada dalam semua web browser ialah Panorama. Panorama ialah pengurus tab di mana anda boleh membahagikan tab laman web kegemaran anda mengikut kehendak anda lengkap dengan tag unik. Sebagai contoh, laman web sukan kegemaran anda seperti ESPN, Sports MyLaunchpad dan Euro Sports boleh dikumpulkan ke dalam satu tab besar dengan tag "sukan". Jadi, apabila anda mahu berita sukan terkini, anda hanya perlu menaip sukan dan ketiga-tiga laman web serta merta.

Masihkan anda ingat masalah yang dihadapi apabila melancarkan kandungan flash dan anda terpaksa melancarkan web browser anda sekali lagi? Dengan crash protection yang berfungsi sama seperti sandboxing dalam Chrome, Firefox 4 mengasingkan masalah pada tab itu sahaja, membolehkan anda terus melayari web pada tab lain.

Adakah anda tahu sebanyak 2.3 billion add-on telah dimuat turun seluruh dunia? Sekarang, dengan Firefox 4, anda tidak perlu lagi melancarkan semula browser anda selepas memuat turun add-on baru.

Dari khemah Norway, Opera 11 mengekalkan ciri-ciri mouse gestures navigation dan muat turun torrent. Selain daripada itu, Opera memperkenalkan versi pengurus tab mereka sendiri yang dipanggil tab stacking. Ciri ini amat berguna untuk mereka yang berkerja dengan tab yang banyak. Anda hanya perlu drag dan drop tab ke dalam tab lain tetapi anda tidak boleh menamakan kumpulan tab tersebut. Bersama-sama dengan Opera 11, extensions telah diperkenalkan untuk menambahkan fungsi kepada web browser itu. Setakat ini, terdapat 459 extension yang pasti akan bertambah pada masa akan datang.

Akhir sekali, kita lihat Chrome. Terdapat banyak pembangunan dibuat oleh Google sejak Chrome 10 dilancarkan. Selain daripada compiler V8 baru, sandboxing dan anti-malware, Chrome 11 disertakan dengan kebolehan speech-to-text dan GPU-accelerated 3D CSS. Pada Chrome 12 pula terdapat tab multi-select dan bookmark yang lebih baik. Dengan lebih daripada 11500 extensions, tidak hairanlah Chrome meningkat sejak tahun lalu.

Prestasi

Masa penentuan telah tiba. Kita akan menguji keempat-empat web browser untuk mengetahui yang terbaik. Peacekeeper, benchmark browser daripada Futuremark Corporation akan digunakan untuk menguji semua web browser mengikut prestasi rendering, rangkaian sosial, grafik kompleks, data, operasi DOM dan text parsing. Dalam ujian terdahulu, Firefox mengejutkan semua apabila ketinggalan di kedudukan akhir dalam Benchmark Kraken ciptaan Mozilla sendiri. Kali ini, Firefox 4 sekali lagi berada di kedudukan tercorot dengan IE 9 di tempat ketiga. Chrome dan Opera bersaing sengit untuk takhta web browser terpantas. Opera 11 merupakan browser terbaik untuk rendering, rangkaian sosial dan operasi DOM manakala Chrome 12 cemerlang dalam grafik kompleks, data dan text parsing. Secara keseluruhan, Chrome muncul juara.

Anda mungkin tertanya-tanya mengapa saya tidak menyertakan Safari. Pada pendapat saya, tidak banyak perubahan dilihat pada Safari. Versi terkini, 5.0.4 Safari yang dilancarkan pada awal Mac tahun ini hanya memperbaiki beberapa isu sahaja.

Meskipun IE 9 tidak muncul juara, saya berpendapat ia layak diberi pujian atas peningkatan prestasi yang mendadak. Sebelum ini, IE 8 berada di bawah dan sekarang IE 9 telah berjaya mengatasi Firefox 4 dan Safari. Hanya satu kekurangan IE 9 iaitu ia tidak menyokong sistem operasi Windows XP.

Comments

No response to “PERSAINGAN WEB BROWSER BERTERUSAN”
Post a Comment | Catat Ulasan (Atom)

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...